Anwar Ibrahim
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Sementara Pemuda Umno dan Pakatan Rakyat selesai mengadakan sesi perbincangan mengenai polemik dimansuhkan skim pinjaman PTPTN,Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menegaskan, pakatan pimpinannya akan melaksanakan pendidikan percuma, bukan hanya memansuhkan aspek kemudahan pinjaman agensi itu.
Menurut Ketua Umum PKR, PR mempunyai cara untuk melaksanakan pemansuhan skim pinjaman PTPTN, antara lain dengan menggunakan dana  RM70 bilion hasil Petronas.
Beliau berkata, selain itu, jumlah penjimatan menerusi usaha mengawal gejala rasuah juga dapat menyumbang kepada pemansuhan pinjaman kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.
Anwar turut mencadangkan satu rundingan berhubung subsidi RM20 bilion kepada syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) dilakukan memandangkan kadar tersebut adalah terlalu tinggi dan tidak wajar diamalkan.
"PTPTN ini bukan isunya, tetapi isu pendidikan percuma kepada rakyat adalah lebih penting untuk dilaksanakan. Ramai yang kata Anwar boleh janji macam-macam, tetapi janji saya pasti akan dikotakan, termasuk janji menurunkan harga minyak 24 jam selepas kita memerintah," kata Anwar ketika berucap pada program pidato pendidikan percuma di Seksyen 7 di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ahli Parlimen Pas dari Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Petang semalam, Pemuda Umno tampil dengan 11 resolusi dengan Ketuanya, Khairy Jamaluddin berpandangan bahawa ia boleh dilaksanakan dengan segera oleh kerajaan. Kelmarin, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengetuai satu sesi bagi mencari penyelesaian kepada isu berkenaan dan menafikan pihaknya menggunakan PTPTN sebagai modal politik.
Rafizi menegaskan kerajaan hanya perlu menanggung RM24.7 bilion jika skim pinjaman itu dimansuhkan sebagaimana didesak pihaknya.
Sehubungan itu, katanya, jumlah itu jauh berbeza berbanding angka RM43 bilion yang disebutkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Johor, Sabtu lalu.
Isu PTPTN dijangka akan menjadi modal kempen Pilihan Raya Umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, pemansuhan PTPTN  boleh dilakukan dengan mengadakan perbincangan bersama pihak bank yang terlibat dan membayar secara berperingkat jumlah tunggakan pinjaman terbabit.

"Kita bukannya akan terus bayar RM43 bilion kepada bank, sebaik sahaja menang di Putrajaya, kita bincanglah dengan pihak bank, berapa tunggakkan satu tahun, kita bayar RM5 bilion setahun," katanya.