Friday 24 August 2012

dilema pendebat ketiga



Dalam debat ala parlimen, pendebat ketiga lazimnya ditugaskan untuk membidas segala kesilapan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh pihak lawan. Caranya? Terpulang pada kreativiti masing-masing – pun begitu masih ada batas tertentu, pada hemat saya (akan ditulis pada entri lain).
Kali ini, saya cuba fokus pada dilema dan stigma yang Aselalu ada dalam kalangan pendebat ketiga. Halangan minda yang menyebabkan ramai pendebat ketiga menghadapi kesukaran mengenal pasti (apatah lagi membidas) kesilapan atau fallacy dalam hujah dan fakta pihak lawan.
Oh, bukan. Bukan. Apabila saya menyebut fallacy, saya bukan ingin mengajar ilmu logik. Saya amat daif dalam konteks itu. Jauh sekali untuk menelaah teks Aristotle atau mana-mana filsuf Yunani.Yang saya kongsi ini hasil pengalaman semata-mata. Ada benar, ada nanar.
1. Fakta memang betul, bagaimana mahu dibidas?
Ini antara kekeliruan paling klasik dalam kalangan pendebat. Memang benar, kita mudah kagum dengan fakta rinci dan tepat yang dibawa oleh pihak lawan. Apatah lagi andai fakta itu diadun dengan angka dan nama pengarang yang sukar disebut.Atau, fakta yang tersohor di sudut dunia mana sekali pun. Sahih, nyata benar. Misalnya – kematian ribuan rakyat Palestin angkara Israel, ekonomi Amerika tumbang dek krisis sub prima, Sepanyol memenangi Piala Dunia 2010, dan sebagainya.
Komen:
Fakta bersifat benar, memang benar sebagai fakta. Titik. Sebab itu debat bukan soal fakta semata-mata, tetapi juga PENGGUNAAN fakta dalam hujah. Fakta pihak lawan yang dianggap benar dan sahih dari segi sifat, perlu disemak dengan kes perdebatan.
Adakah fakta tersebut tepat dengan pencirian kes? Adakah fakta menerangkan hujah? Wujudkah fakta lain untuk menyanggah mesej atau maksud yang dibawa? Lengkapkah kandungan fakta dengan komponen jalan cerita atau kes yang ingin dibuktikan? Soalan-soalan di atas bukan bidasan tetapi cara untuk menilai fakta yang diketahui benar dalam perdebatan.
Justeru, amat molek jika pendebat ketiga mempunyai sehelai kertas yang disediakan khusus untuk mencatat kes pihak lawan semata-mata. Jika mampu, setiap patah perkataan disalin tanpa gagal. Kes yang gagal diimani dengan menyediakan fakta tangkap muat – seharusnya diserang bertubi-tubi.
2. Tolong! Fakta terlalu banyak!
Ini juga mimpi ngeri bagi kebanyakan pendebat ketiga. Bangun pendebat pertama pihak lawan, lapan fakta. Pendebat kedua, 15 fakta. Usah bicara soal bidas – nak salin pun banyak yang terlepas. Biasalah, strategi pasukan masing-masing.
Komen:
Pendebat yang hadir ke gelanggang dengan seguni fakta biasanya tampil dengan beberapa petanda: mata kerap merujuk kertas, tempo penyampaian pantas, hujah bermula dengan kenyataan umum diikuti fakta-fakta ringkas, dan lain-lain.Sekiranya simptom di atas dikesan – pendebat harus pantas mempersiap minda. Dengar dengan teliti dan buat nota minda. Ulang sebut fakta dalam hati sambil catat sepantas mungkin. Ingat, yang dicatat bukan ayat – tetapi fakta: nama, angka, tempat, istilah, kaitan, bukti.
Tujuan menyalin bukan untuk ulang sebut segala-galanya tetapi untuk mengesan keseragaman dalam semua fakta. Cari tema dan mesej di sebalik semua fakta. Simpulkan (sambil menyebut sebahagian/semua fakta sepintas lalu) dan cuba bidas kaitan fakta tersebut dengan kes.Lambakan fakta turut hadir dengan risiko percanggahan. Teliti semua fakta yang disampaikan – pasti ada satu atau dua fakta yang bercanggah antara satu sama lain.
3. Tidak tahu = tidak bidas.
Malang juga andai keadaan ini menimpa pendebat ketiga, tetapi saya yakin ramai yang pernah berhadapan dengan situasi yang sama. Pen di tangan sudah bersedia mencatat hujah dan fakta. Tiba-tiba terletuslah dari mulut sang pendebat fakta yang tidak pernah didengar.
Tak faham. Tak tahu. Asing. Janggal. Canggung.
Maka fakta ini ditinggalkan sekadar coretan pada kertas tanpa sebarang bidasan. Lebih malang, andai pihak lawan berjaya menghidu kegagalan dan mendedahkan kepada penonton (baca: hakim) – “Hujah ini tidak dibidas.”
Komen: Padan muka – siapa suruh malas buat kajian sebelum debat?
Saya boleh saja menghentikan komen di situ, tapi tak perlulah. Ini bukan sesi maki Simon Cowell atau mana-mana lelaki Inggeris yang meniru beliau dalam realiti TV lain. Cuma mesej itu perlu disampaikan. Jadi pendebat, walau bukan serba tahu – namun mesti sentiasa mahu mencari tahu.
Cuma, para pendebat pasti tidak dapat mengelak kebarangkalian menemukan fakta asing sebegini – biasanya dalam usul perdebatan yang teknikal seperti Debat Alam Sekitar atau usul dengan istilah dan konsep yang khusus. Atau dalam mana-mana usul – anda menemukan pasukan yang sememangnya berstrategi sedemikian. Buat fakta yang pelik – biar pihak lawan sukar membidas.
Bagi menangani masalah ini, seperti mana langkah yang saya cadangkan dalam bahagian pertama – cari dan analisis kaitan fakta tersebut dengan kes pihak lawan. Bagaimana? Walau sesulit mana pun satu-satu fakta, pasti ada kesimpulan yang ingin dicapai. Kaji komponen dan kaitan antara objek/nama/situasi/individu yang ada dalam fakta tersebut.
4. Menyerang penyerang.
Dilema ini dihadapi oleh pendebat ketiga pembangkang. Sebelum giliran tiba, pendebat ketiga kerajaan telah selesai menyampaikan bidasan. Maknanya? Ada bidasan yang telah melemahkan kes pembangkang. Ada serangan yang memberi kesan, terutamanya perspektif hakim.
Maka, pendebat ketiga pembangkang terpaksa menimbang sama ada untuk memulakan bidasan dengan kes dan hujah yang disampaikan oleh pendebat pertama dan kedua – atau terus menyerang balas? Bagaimana pula dengan pengurusan masa jika terlalu banyak fakta yang perlu dibidas? Perlukah bidasan pendebat ketiga kerajaan diabaikan?
Komen: Debat seringkali berkaitan dengan tanggapan yang dibina dalam minda penonton, terutamanya hakim. Semasa bidasan dilakukan oleh pendebat ketiga kerajaan, amat molek untuk rakan sejawatan di pihak pembangkang melakukan analisis kerosakan (damage analysis). Pastinya, dengan bantuan rakan sepasukan.
Sejauh manakah sesi bidasan kerajaan memberi kesan kepada kes pembangkang? Jika serangannya baik dan mengena, maka pendebat ketiga pembangkang harus membalas serangan sebaik sahaja memulakan ucapan. Hapuskan tanggapan (impression) yang telah dibina oleh sesi bidasan pihak lawan.
Jika serangannya lemah dan tidak mengena, maka bidasan tersebut boleh disentuh secara ringkas selepas selesai bidasan hujah – atau diselesaikan semasa sesi penggulungan.
Komponen bidasan manakah yang lebih tajam dalam ucapan pendebat ketiga kerajaan? Sekiranya serangan lebih mengena pada hujah dan fakta, elakkan daripada menerangkan semula hujah – buang masa. Sebaliknya, kumpul dan nilai bidasan beliau seperti hujah dan fakta. Bahagi masa dengan baik.
Jika bidasan beliau lebih tertumpu pada kes dan konsep, adunkan kelemahan bidasan tersebut dalam serangan anda terhadap kes pihak lawan. Anggap serangan beliau sebahagian daripada kes kerajaan – kerana serangan pihak lawan biasanya berasaskan kefahaman mereka terhadap kes sendiri.

Satu lagi dilema yang dihadapi oleh pendebat ketiga ialah dalam mendepani situasi ekstrem: pasukan lawan terlalu lemah atau pasukan sendiri terlalu lemah.
Situasi 1: Pasukan Lawan Terlalu Lemah
Pendebat pertama dan kedua tampil dengan satu, atau lebih parah, tanpa sebarang hujah. Hanya kes perdebatan yang diulang pintal hingga tamat waktu berhujah. Ada juga pihak lawan yang tidak sempat pun memanfaatkan masa berhujah sepenuhnya.
Hal ini biasa dihadapi apabila pendebat bertemu dengan pasukan yang terlalu muda dalam perdebatan. Barangkali kurang pengalaman dan/atau persiapan.Maka, masalah akan timbul apabila pendebat ketiga tidak cukup modal untuk membidas. Tiada hujah dan fakta: apa yang hendak dibidas?
Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan.
Pertama, jangan sesekali merendah-rendahkan pihak lawan. Jangan. Amat mudah untuk pendebat tergelincir dari sempadan santun dalam pengucapan awam apabila peluang menyerang pihak lawan terbuka luas. Saya pun pernah melakukan kesilapan yang sama. Pengalaman mengajar kita bahawa semua pendebat mampu jadi hebat tanpa perlu jadi biadap. Hormati pihak lawan – sekuat atau selemah mana pun mereka.
Kedua, jika hujah pihak lawan terlalu sedikit – pendebat ketiga boleh cuba untuk menerangkan semula hujah pihak lawan. Penerangan bukan dalam bentuk hujahan, tetapi analisis mengenai apakah pemahaman ANDA terhadap hujah tersebut.
Kemudian, bina bidasan dalam bentuk cadangan hujah yang responsif terhadap ‘penerangan hujah’ sebentar tadi. Rantaian bidasan lebih kurang beginilah: What they plan to say – what they really say – what they suppose to say.
Lebih manis jika pendebat ketiga hadir dengan bekalan fakta yang mencukupi untuk usul berkenaan dan fakta berkenaan diselitkan dalam cadangan hujah di atas.
Ketiga, anda boleh lakukan perkara sama untuk bidasan konsep. Oleh kerana ruang masa lebih fleksibel lantaran kekurangan input daripada pihak lawan, pendebat ketiga bolehlah mengambil masa sedikit lama untuk membidas konsep pihak lawan.
State the obvious. Perlu nyatakan kelemahan ketara pihak lawan kepada hakim. Jangan ada tanggapan: takkanlah hakim tak sedar. Jangan. Cuma, cara membongkar kesilapan itu perlulah dilakukan dengan gaya mengajar atau membantu – bukan mencerca.
Situasi 2: Pasukan Sendiri Terlalu Lemah
Situasi ini boleh wujud dalam beberapa keadaan. Misalnya, pasukan anda memang lemah dari garis mula. Kes kabur, hujah longgar, fakta kurang; atau pasukan anda mungkin stabil pada awal perdebatan namun semakin longlai dek kerana asakan pihak lawan yang tajam dan berkesan.
Dalam mana-mana situasi, pendebat ketiga berhadapan dilema sama ada untuk meneruskan bidasan yang sudah disiapkan atau menukar sedikit peranan untuk membangunkan kes yang berantakan. Beberapa pandangan tentang situasi ini telah saya beri di atas.
Apa lagi yang boleh dilakukan?
Pertama, jangan putus asa. Saya amat mengerti musnahnya semangat juang apabila tiada lagi ruang yang kelihatan untuk menguatkan kembali kes pasukan. Saya faham. Cuma, selagi ucapan penggulungan kerajaan belum tamat, selagi itulah keputusan debat tidak diketahui.
Sekurang-kurangnya kalau mahu berundur dari gelanggang, you do it with honor. Jangan menyerah sebelum pertarungan tamat. Jangan.
Kedua, ambil masa ketika bidasan konsep pihak lawan untuk menerangkan semula kes sendiri. Teknik ini saya akui memang sukar, namun buahnya manis andai berjaya dilaksanakan.
Caranya, pilih komponen kes pihak lawan yang ingin dibidas. Kemudian, jadikan penerangan semula kes pasukan untuk membidas komponen tersebut.
Penerangan semula bukan bermaksud mengulang ayat demi ayat yang dibentang oleh pendebat pertama, tetapi pendebat perlu fikir cara lain untuk menerangkan kes.
Rantaian bidasan konsep lebih kurang beginilah: komponen kes lawan: apa yang lemah: lemah, maka tidak berkesan menyerang kes pasukan: maka kes pasukan kekal: apa yang kekal.
Mesej yang ingin disampaikan oleh pendebat ketiga dalam membantu pasukan yang kelemasan bukannya “Oh my God. That’s it. We’re dead.” – tetapi “We are still in this fight. No matter what.
Setakat ini dahulu.

-syamiebosco-


No comments:

Post a Comment