Wednesday 23 November 2011

subjek spm?

KUALA LUMPUR: Bilangan subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikurangkan kepada tiga atau empat, berbanding enam sekarang selaras keputusan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran yang boleh diambil calon peperiksaan itu, mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pengurangan subjek teras itu akan membolehkan calon SPM dalam semua aliran pendidikan, termasuk agama mengambil lebih banyak mata pelajaran elektif mengikut keperluan bidang pengkhususan dan minat masing-masing. 

Ketika ini, calon SPM wajib mengambil enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral. 

"Apabila jumlah mata pelajaran teras dikurangkan kepada tiga atau empat, setiap calon akan dikehendaki mengambil minimum enam sehingga maksimum 10 subjek dalam peperiksaan itu.

"Ini bermakna calon masih berpeluang mengambil beberapa subjek elektif lain yang diminati tanpa perlu mengorbankan pemilihan mata pelajaran elektif dalam bidang pengkhususan mereka," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau memberi contoh, calon dalam aliran sains dapat mengambil mata pelajaran elektif Biologi, Kimia, Fizik serta Matematik Tambahan dan pada masa sama boleh memilih dua atau tiga subjek lain yang di luar bidang aliran pendidikan mereka seperti Prinsip Perakaunan dan Ekonomi Asas.

Alimuddin berkata, calon dari aliran agama juga mempunyai peluang mengambil subjek yang mencukupi dalam bidang pengkhususan mereka, seperti Tasawwur Islam, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

Beliau mengulas kebimbangan ibu bapa dan pelajar aliran agama mengenai kekangan untuk mengambil mata pelajaran elektif dalam bidang pengkhususan mereka berikutan keputusan Kementerian Pelajaran mengehadkan pengambilan maksimum 10 subjek dalam SPM yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Kebimbangan sama turut disuarakan ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.
Samy Vellu dalam kenyataannya semalam, meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula peraturan itu kerana berpendapat ia akan menghalang pelajar keturunan India daripada mengambil kedua-dua kertas Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil dalam peperiksaan itu.

Mengenai subjek teras yang akan dikeluarkan dan dijadikan mata pelajaran elektif, Alimuddin berkata ia masih terbuka kepada sebarang pandangan daripada pihak lain.

"Kementerian dalam peringkat akhir menambah baik keseluruhan cadangan penstrukturan semula SPM, termasuk dari segi penentuan mata pelajaran teras serta sistem penggredan peperiksaan itu, yang dijangka siap dalam satu atau dua minggu lagi.

"Apabila siap, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat profesional kementerian sebelum dibentangkan kepada Menteri Pelajaran untuk kelulusan dan sekiranya diminta Menteri Pelajaran, nota Kabinet akan turut disediakan," katanya.

Mengulas lanjut, Alimuddin menegaskan langkah mengehadkan pengambilan subjek dalam SPM tidak akan menimbulkan masalah besar kerana berdasarkan statistik, tahun lalu tidak sampai 10 peratus atau kira-kira 38,000 daripada 480,000 calon SPM mengambil lebih 10 mata pelajaran. 

Beliau menasihatkan calon tidak membuat pemilihan subjek elektif secara 'caca marba' atau 'bertindih', sebaliknya menumpukan pengambilan mata pelajaran mengikut pengkhususan masing-masing berdasarkan keperluan kelulusan untuk memasuki bidang pengajian tertentu di universiti kelak. 

Justeru, katanya, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) amat penting bagi menentukan kecenderungan penguasaan bidang ilmu seseorang pelajar untuk membolehkannya mengkhusus dalam aliran pendidikan berkenaan mulai Tingkatan Empat.

"Kementerian berharap ibu bapa dan pelajar memahami langkah ini (mengehadkan bilangan subjek boleh diambil calon SPM). Antara tujuannya ialah untuk mengelakkan calon mengabaikan aktiviti kokurikulum. 

"Apabila mengambil terlalu banyak subjek, mereka tiada masa kerana terpaksa mengikuti tuisyen bagi mata pelajaran elektif yang tidak diajar di sekolah. 

"Ada banyak aduan bahawa sistem pendidikan negara ketika ini seolah-olah terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata sedangkan konsep sebenar pendidikan ialah gabungan penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran serta nilai murni bagi melahirkan modal insan cemerlang," katanya.
KEBAIKAN
1) "Guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus", kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
- Guru sudah membuktikan kemampuan mereka dalam membantu pelajar berjaya dengan cemerlang dalam SPM.
- Pemerkasaan institusi perguruan adalah penyelesaian lebih praktikal berbanding mengehadkan subjek dalam SPM.
2) Untuk mengelakkan calon mengabaikan aktiviti kokurikulum.
3) Untuk menyeimbangkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum setiap pelajar.
KEKURANGAN
1) Menghalang pelajar keturunan India daripada mengambil kedua-dua kertas Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil.
1) Subjek agama di sekolah agama akan dipinggirkan kerana ingin memfokuskan kepada subjek teras dan sains semata-mata.
2) Melahirkan kebimbangan kemungkinan pelajar sekolah aliran agama terpinggir dalam jangka masa panjang terutama pelajar yang turut meminati bidang sains.
3) Menyekat kebebasan individu yang berminat menggabungkan ilmu agama dan sains.
Contohnya, seseorang calon mesti mengambil enam subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains. Dengan mengehadkan 10 subjek, seseorang calon hanya boleh mengambil empat lagi subjek iaitu Bahasa Arab Tinggi, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan as-Sunah serta Pendidikan Syariah Islam. Ini bermakna, calon terbabit tidak lagi dapat mengambil subjek seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.
4) Asas pemahaman sains mesti dibentuk daripada awal, bukan menyekatnya pada peringkat awal. Jika pemisahan ini berlaku, pelajar Islam akan ketinggalan berbanding pelajar lain.

No comments:

Post a Comment